Khamis, Januari 18, 2018

Tiga Bentuk Pembentukan Teater

Saya akan guna analogi yang boleh terjerumus ke daerah klise, iaitu proses memasak. Tapi saya yakin analogi ini berkesan untuk semua lapisan orang, sebab kita semua pernah memasak—kita ada pengalaman dan perasaan intim terhadap proses memasak ini.

Ada tiga bentuk proses pembuatan sesebuah teater. Yang pertama kita ada playwright menulis skrip, dan skrip itu menjadi takdir kepada para pelakon. Ini formaliti lazim, dan malah ia serupa dengan tanggapan umum terhadap proses pembuatan filem. Kita ada skrip dan semua orang ikut skrip itu. Dalam konteks memasak, kita ada resepi. Kita ikut resepi itu. Kita ke supermarket atau pasar beli bahan-bahan yang diperlukan. Kita cari bahan terbaik dan paling sesuai. Proses casting berlaku. Bila resepi itu sebut belacan, maka kita ke bahagian belacan untuk pilih jenama belacan yang kita yakini. Dan apabila kita hadir kembali di dapur, kita masak ikut arahan resepi tersebut. Di sini resepi itu ialah skrip dan menjadi takdir kepada bahan-bahan masakan kita.

Yang kedua, melibatkan improvisasi. Kita masih ada resepi. Kita beli bahan-bahan dan kembali ke dapur. Tetapi kali ini kita tidak ikut seratus peratus resepi tersebut. Ada benda yang kita olah mengikut kesesuaian kita. Kadang-kala ada skrip yang buka ruang bagi pengarah improvise, tetapi ada skrip yang tidak buka ruang ini, tetapi apabila ia jatuh ke tangan pengarah, pengarah itu improvise adegan-adegan tertentu. Tidak terhad di posisi pengarah, kadang-kala pelakon juga melakukan improvisasi. Sama seperti situasi pengarah, ada skrip yang buka ruang bagi pelakon untuk lakukan improvisasi, tetapi ada skrip yang tidak buka ruang ini. Di sini direction masakan itu menjadi milik tukang masak dan bukan penulis resepi. Sebagai contoh resepi tulis daun kunyit untuk dimasukkan ke dalam masak lemak cili api, tapi tukang masak itu tukar dan masukkan thai basil. Di sini nuansa rasa itu sudah berubah. Pengarah sudah masuk untuk ambil posisi author.

Yang ketiga, melibatkan proses devising. Tak seperti dua proses di atas, ia tidak melibatkan proses casting pelakon. Dan ia juga tidak melibatkan teks. Jadi di sini dalam konteks masakan. Tukang masak tadi tidak lagi memasak berpandukan resepi, dan dalam masa sama dia juga tidak ke supermarket atau pasar untuk mencari bahan-bahan. Bahan-bahannya sudah ada di dapur. Tukang masak ini akan guna apa yang ada untuk garap sesuatu. Mencari potensi yang boleh diberikan dua biji kentang, sebiji tomato, sebiji telur ayam, seikat kangkung dan segenggam ikan bilis. Apa yang boleh diolah dari material ini? Di sini proses improvisasi berguna dalam mencari hala tuju dan takdir kepada bahan-bahan sedia ada ini. Sekumpulan manusia berkumpul untuk hasilkan sesuatu, mereka cuba keluar dari kerangka authorship.

Tiga bentuk ini satu bentuk generalisasi, tapi poin yang ingin saya jelaskan di sini bahawa ia merupakan satu spektrum. Di satu hujung ia formal dan seakan teks itu memenjara si penggiat teater manakala di satu lagi hujung ia kasual dan seakan proses pembikinannya lebih demokratik. Ia selari dengan sejarah, sebab memang alami seni, setiap seni yang terbeku, apabila menjadi konvensi, akan dan ingin dipecahkan dan dilanggar oleh generasi yang terkemudian. Ia malah suatu fenomena biasa, jika kita dalami sejarah. Tapi sudah tentu, bagi mereka yang matang, seluruh spektrum tadi merupakan satu ilusi. Yang paling utama adalah apa yang sedang disampaikan. Bagaimana untuk jadikan ilusi itu sebagai sesuatu yang real. Adakah perasan kita ini benar-benar benar?


Ridhwan Saidi

Devised Theatre...

Waktu saya noob teater dulu saya tak tahu devised tu apa. Ia biasa saya dengar disebut, dan waktu tu kalau diminta saya tulis, saya akan eja sebagai ‘device’—barangkali. Jadi saya fikir mesti ada orang yang tak tahu devised ini apa, jadi boleh kita cuba kongsikan di sini.

Biasanya ikut kefahaman umum, kita buat teater mula dari skrip. Dan orang yang tulis skrip tu kita panggil playwright. Tapi dalam konteks devised ini, ia tak lagi guna playwright dan teks. Ia hasil apabila sekumpulan orang bersama-sama cipta werk (teks jika ada, muncul selepas pertemuan ini). Werk yang dicipta secara kolektif, dan salah satu niat terpendam metod ini adalah untuk hilangkan kesan author atau naratif yang dah tertulis dalam skrip. Ia ada traits pascamoden di mana ia cuba keluar dari kerangka naratif agung = skrip/Teks, dan meraikan naratif-naratif kecil, apa yang boleh dikontribut ahli yang terlibat.

Istimewanya metod ini, proses casting dah tak ada. Cast di sini dalam erti kata, bila skrip tu dah tertulis, ia menjadi satu hal untuk cast watak, untuk mencari pelakon yang cocok dan sesuai. Di sini jelas bahawa skrip tadi ada authority besar untuk tentukan hala tuju—dan boleh kita panggil takdir—kepada para bakal pelakon yang akan memainkan watak-watak mereka.

Tapi berbalik kepada devised theatre, proses casting dah tak ada. Semua ahli yang join secara langsung menjadi penyumbang idea dalam menggarap werk. Setiap ahli secara tak langsung ialah cast yang betul. Dalam kes ini, authority tetap ada sebab ia melibatkan kata putus, cuma biasanya ia dilembutkan dengan dialog, improvisasi, peluang, amalgamasi idea, kolaborasi dan sentiasa... proses pencarian.

Maka dua hal yang sama bertemu meski titik mulanya di dimensi berbeza: dalam konteks skrip, playwright itu mencari secara solitari dalam domain solitud, manakala melalui proses devising, sekumpulan orang itu bertemu dan beraksi, mencari secara berjemaah.

Pencarian ini sebenarnya yang paling penting. Ia ibarat, sama ada seseorang itu solat berseorangan di rumah atau solat jemaah di surau atau masjid, ia tak bermakna selagi pencarian itu tidak menemukan si pencari kepada Tuhan.


Ridhwan Saidi

Ahad, Disember 31, 2017

Apa beza teater dengan performance art?

Teater ada displin lakon (Grotowski buang semua elemen lain teater dan yang tinggal cuma lakonan), tetapi dalam performance art kita tak pasti jika artis itu ada niat untuk berlakon. Setahu saya tidak (rujuk kenyataan Marina di bawah). Jadi kita boleh mula dari sini, walaupun boleh saja di masa depan (atau ia sudah berlaku?) teater tanpa niat lakonan dan performance art dengan niat lakon.

“To be a performance artist, you have to hate theatre. Theatre is fake: there is a black box, you pay for a ticket, and you sit in the dark and see somebody playing somebody else's life. The knife is not real, the blood is not real, and the emotions are not real. Performance is just the opposite: the knife is real, the blood is real, and the emotions are real.” – Marina Abramovich

Selain itu, biasanya teater normal untuk bertiket dan berbayar, bermakna audien datang dan bayar tiket itu bukan sesuatu yang janggal, tetapi untuk performance art, biasanya artis dikomisen oleh galeri atau badan seni untuk mengaksikan performance art tersebut. Jadi di sini hubungan antara mereka yang beraksi dan mereka yang menyaksi agak berbeza, sebab tertib dan cara tontonnya berbeza.

Performance art biasanya melanggar norma dan mahu mengganggu atau beri kesan drastik kepada audien, dan ini berkesan dengan sistem komisen tadi. Andai performance itu bertiket dan berbayar, apresiasi audien terhadap werk tersebut akan jadi berbeza, ia cenderung dibenci. Maka kerana itu teater perlu ada appeal atau permukaan yang menghargai bagi setiap tiket yang dibeli—ia secara tak langsung mendekati sistem komoditi.

Seni teater perlu muncul dalam perkiraan jual beli tiket ini. Psikologi audien apabila bertiket, akan menggugat—kenapa mereka tengok teater sedangkan tiket itu boleh bertukar dengan dua kotak rokok atau isi petrol kereta selama sehari, misalnya?

Sudah tentu ada juga teater yang dikomisen, lalu menjadi percuma, tetapi ada juga yang tetap kenakan tiket selepas dikomisen, boleh jadi sebab ia norma untuk masuk menonton teater dengan membayar sedikit tiket. Malah produksi student juga akan kenakan sedikit tiket untuk buat syarat. Saya suspek ini kerana rata-rata teater berlaku dalam ruang tertutup seperti black box etc. maka aliran keluar masuk manusia boleh dikawal, lantas, kita buat saja ia bertiket kerana sesungguhnya ia spesial untuk berada di dalam ruang tersebut.

Teater ada sejak zaman purba dan mempunyai esensi yang stabil iaitu displin lakon dan drama, tetapi performance art masih baru dan sifatnya meminjam dari aktiviti seharian mahu pun dari medium seni lain. Maka kita boleh kata performance art tiada elemen fundamental yang menjadi esensinya. Ia boleh jadi apa sahaja menurut artis tersebut, dan displin (jika ada) datang dari cabang-cabang ilmu dan seni berbeza. Dan oleh kerana ia tiada asas, maka istilah interdisciplinary atau multidisciplinary normal digunakan. Ia digunakan kerana ia medium yang tak berdisplin.

Sementara teater ada displin lakon. Dan lakonan ini mesti diulang? (dan kerana itu banyak show) manakala performance art biasanya berlaku cuma sekali. Displin lakon ini senang saya bayangkan ibarat martial arts. Ada kung fu, ada tae kwan do, ada silat, ada banyak bentuk, falsafah dan keindahan tersendiri dan ini belum lagi jika bentuk-bentuk itu berpecah kepada cabang-cabang yang lebih kecil. Rata-rata martial arts ini, oleh kerana ia satu displin, ia biasanya terkeluar ke dalam gaya hidup si pengamalnya. Ini sama dengan displin lakon, di mana ia akan sebati dengan kehidupan pengamalnya. Kita tak lagi nampak beza hidup dan lakon.


Ridhwan Saidi

Rabu, Disember 27, 2017

10 Teater Terbaik Kami Tonton 2017

Prakata
Dua teater yang berkongsi tempat 10 dan 8 bukan mahu menyimpulkan bahawa ia berkongsi tempat atau sama-sama baik, sebaliknya kedua-dua kombinasi teater tersebut perlu ditonton dan hanya apabila ini berlaku, ia menjadi lebih baik. Melalui dialog tersembunyi, kita dapat lihat bagaimana dua emosi berbeza terhubung. Dua kombinasi ini kebetulan di antara teater Inggeris dan teater Melayu (satu kerana merujuk teks sama dan satu lagi dalam konteks lokasi), tetapi ada sesuatu yang buat kedua teater ini seakan ingin bercakap di antara satu sama lain. Hanya dengan posisi Audien kita boleh dengar perbualan halus ini.

10. Swordfish + Concubine & Bangsawan Dendam Laksamana 
Dua teater dari teks Sejarah Melayu yang boleh kita ambil iktibar dari pelaksanaannya. Satu dalam bahasa Inggeris berfokus pada kisah Singapura dilanggar todak hingga Singapura diserang Majapahit manakala satu lagi dalam bahasa Melayu tentang pengakhiran susur galur raja-raja Melaka yang turun di Bukit Siguntang. Kedua-duanya tentang kejatuhan Kerajaan akibat tentangan ahli keluarga yang dihukum Sultan (atas skil retorik dan pujukan pembesar, untuk beri idea ia bukan idea asli Sultan?)—Sang Rajuna Tapa anak perempuannya disula di ruang awam dan Megat Sri Rama isterinya dibelah perutnya dan kelihatan bayi kelahirannya sedang makan buah nangka lalu turut dibunuh. Kedua-dua tentangan ini juga dibalas dengan sumpahan Sultan (dengan kuasa tuhan) di mana Sang Rajuna Tapa menjadi batu, manakala Megat Sri Rama dan keturunannya akan muntah darah jika menjejakkan kaki ke tanah Johor. Ironi apabila imej terkuat pementasan ini merupakan elemen berlawanan—dalam Swordfish + Concubine adegan syair (meski offbeat), manakala dalam Dendam Laksamana adegan beku persis lukisan ‘pop’ Renaissance ketika Megat Sri Rama menikam Sultan Mahmud—elemen Melayu dalam teater Inggeris dan elemen Inggeris dalam teater Melayu. 

8. Teater di Sawah Padi: Uda dan Dara & Duality, PAM
Satu teater beri kita bau padi, gerai burger dan deretan rumah kampung untuk mendekatkan kita dengan alam, manakala satu lagi beri kita nuansa posh, jamban canggih dan kemewahan senibina ofis di tengah kota. Satu teater beri kita erti tua, gila dan matang via Utih, manakala satu teater beri kita segerombolan anak muda yang emo, yang menari untuk ekspres diri. Ruang sebagai katalis cerita. Dalam Duality ruang terbaik ialah bilik persalinan mereka yang persis akuarium, manakala dalam Uda dan Dara, sawah padi dan patung orang-orang di belakang pentas yang diselimuti kegelapan misteri.

6. L5-7-44 
Teater site-specific dalam erti kata ia membawa tema kematian dengan nombor 44 ke dalam bangunan MCA yang mana in general, persatuan orang Cina lebih superstitious dan suka nombor 88—sebuah provokasi halus. Ia menawarkan atmosfera sci-fi—dingin dan kaku, tetapi masih ada unsur kelima seakan setan, berjalan dan menari. Ia persis melangkah masuk ke dalam kepala seseorang. Pengalamannya baik, tetapi dalam konteks cerita, ada sesuatu yang tidak masak dan habis.

5. The Pillowman
Teater dengan teks yang kuat akan membantu aktor menolak dirinya ke daerah-daerah yang lebih asing, dalam konteks cerita ini, ke daerah bedtime story dan folk horror yang gelap. Ia sebuah cerita yang meraikan cerita, dan koheren sebagai satu teks. Semoga banyak teks lokal yang menguasai medium cerita seperti ini, yang mana susur galurnya sudah pasti datang dari Shahrazad. Walaupun sebagai cerita ia koheren dan masak, tetapi dari segi pengalaman ada sesuatu yang tidak cukup. Kami suspek ia tidak begitu nyambung dengan konteks setempat. Ia sebuah aktiviti (berlakon dan berteater), tetapi kenapa? Ia tiba kepada kami bahawa, jika cerita sesebuah teater itu baik, ia masih bukan pengalaman teater yang baik. Ini kerana cerita yang baik juga secara mudah boleh ditemui di dalam buku dan filem. Sebaliknya apa yang teater boleh tawarkan di luar kerangka cerita dan penceritaan yang baik? Ruang-ruang di antara teks.

4. Pertemuan Penggiat Teater, JKKN
Sebuah pertemuan bagi membincangkan mengenai ‘mengindustrikan teater’ yang bertukar menjadi ‘teater’ apabila pengendali mikrofon di bahagian audien melakukan kudeta terhadap moderator, di mana moderator itu hanya buka dua soalan buat audien, tetapi pengendali mikrofon itu beri ruang kepada lebih kurang sepuluh orang. Di sini kita dapat saksikan mentaliti berpersatuan anti-persatuan, rintihan kekecewaan dan nostalgia, kebagusan diri vs penggiat muda yang lemah, bangsawan yang tidak ‘bangsa’wan, gerakan teater indie di luar vs mereka di dalam buih, sokongan, disokong, menyokong dan banyak lagi. Di atas pentas, moderator dan para panelis ada beri sedikit insight tentang ekonomi dan janaan industri seni di Lembah Klang, pensejarahan dan kisah peribadi sebagai anekdot. Perkataan otai dilempar dan meski majoriti yang bercakap orang tua, tiada yang lebih otai dari Rahman B. (ketika ini 86 tahun) yang menjadi audien terakhir bercakap. Keresahan Rahman B. melangkaui kegusaran diri dan ego, tetapi terhadap zuriat tradisi yang terputus. Untuk menyaksikan ini di depan mata, ia menggerakkan.

3. Engaging Theatre, BFM
Rancangan bual bicara 6 episod di radio yang membuka pintu bagi penggiat dan peminat teater dalam mendalami seni teater. Perkongsian pengetahuan dan kepekaan yang jelas dan padu, dari zaman Greek, ke era Elizabethan, ke Ibsen, ke Peter Brook, Grotowski, Robert Wilson, yang lokal, yang global, dan lain-lain serta ruang-ruang dicelahnya. Bahawa teater seperti cerita dan puisi, menggerakkan kita. Menurut Ridhwan Saidi, kewujudan siaran ini memberi inspirasi buat mereka yang baru terdedah dengan teater seperti dirinya—mereka yang mendengar.

2. Langkau
Teater dengan rasa sekarang dan semasa. Di mana gerakan tubuh dan cerita bergerak seiring. Kepekaan pascamodennya adakala mengaburi cerita dan keterbukaannya (appeal) terhadap audien, seperti judulnya yang tidak membuatkan orang berminat atau teruja untuk mengetahui lebih lanjut, apa yang ingin dilangkau. Kami tak tertarik untuk tonton pada awalnya hingga tiba saat-saat akhir. Ia ada sensibiliti yang nampak seperti tak terkawal, tetapi terkawal. Seperti bermain dan menari, ada sistem dan syarat yang mengongkong gerakan kita, tetapi di dalam sistem dan kongkongan itu, ia beri kita nikmat tertentu. Ia buat kita sedar teater itu fun dan playful.

1. Teater Modular 
Teater Modular mengubah cara teater Malaysia dibikin. Instead of teater dibikin per show, teater juga boleh diolah sebagai satu program dan preset. Teater Modular sebagai work-in-progress yang terdedah buat audien bertiket. Teater open-source yang mana gubahan bentuknya boleh berubah dari playlet ke full-length play. Teater yang mana untuk setiap restage adalah ibarat menekan butang refresh. Teater yang menawarkan skrip penuh via zine dengan sesi bual santai ibarat playlet kelima. Teater yang menawarkan harapan dan kekecewaan. Teater yang tidak takut. Teater yang meraikan amatur. Teater yang meraikan ruang. Teater yang meraikan audien. Teater yang meraikan cerita. Teater yang meraikan teater. Rata-rata elemen yang sudah disebutkan di atas seperti penggunaan lokasi, kepekaan ruang, penguasaan cerita dan kemesraan audien, bertemu di dalam teater ini dan kerana itu ia berada di nombor satu. 2017 ialah tahun kewujudan Teater Modular, dan ia belum pun berakhir.


Senarai pengarah/penggerak/moderator yang terlibat (menurut kronologi): Kee Thuan Chye, Pat Ibrahim, Dinsman, Vinna Law, Shane Capri, Christopher Ling, Anne James, Zakaria Ariffin, A. Wahab Hamzah, Izan Satrina, Sakrani Shamsuddin, Lim Soon Heng, Jo Kukathas, Zalfian Fuzi, Fasyali Fadzly, Fahmi Harun, Sak Don, Walid Ali, Qiu Qatina, Mia Sabrina Mahadir, Nana… 

Pascakata
Senarai ini bukan untuk dijadikan rujukan serius, sebab ada teater yang kami tak tengok, dan ada juga teater yang kami tengok tapi tak dimasukkan sebab kami kena buat pilihan. Apa pun poin senarai ini adalah supaya kami sendiri tak lupa apa yang berlaku di tahun 2017. Dan di sini kami juga menggesa mereka yang rajin tengok teater untuk buat senarai mereka, sebab rata-rata yang kami tengok majoritinya di Kuala Lumpur. Apa pula cerita di Pulau Pinang, atau Ipoh, atau Kuching atau di mana-mana tempat lain dalam Malaysia? Bagaimana dengan teater dalam bahasa Cina (Mandarin, Kantonis, Hakka, Hokkien…) dan India (Tamil, Hindi kalau ada)? Teater pekerja asing, perlukah pekerja asing berteater?

Walaupun kami sedar kepentingan untuk mempelbagaikan pilihan, tapi kami tak jadikan itu sebagai benda utama dalam pilihan kami, sebab ia bukan kesedaran utama kami bila nak buat senarai ni. Bila kami terpanggil untuk tengok teater, kami terpanggil barangkali sebab orang cakap best, sebab poster, sebab teaser trailer, sebab pelakon, sebab ruang, sebab pengarah, sebab cerita? Sebabnya boleh jadi macam-macam, dan kadang-kala kita tak rancang tapi takdir memberikan kita tiket complimentary atau dibelanja. Hal-hal sebegini yang buat kami terperangkap dalam teater bersama orang lain, lalu menjurus kepada senarai ini. Walau bagaimanapun kami terbuka dengan konsep teater itu sendiri, dan kerana itu Pertemuan Penggiat Teater di JKKN dan siaran radio Engaging Theatre kami pilih, sebab ia bagus, malah lebih bagus dari rata-rata persembahan/pementasan teater. ‘Teater’ kata kunci di sini. Di waktu ‘teatrikal’ dianggap fesyen lama, kami sentiasa meletakkan teater dulu, dan kata-kata sokongan lain seperti immersive, site-specific, devised, technical show, collaborative effort, post-dramatic… sebagai gimik promosi (memberi impresi bahawa mereka bukan sedang buat teater biasa-biasa, dan lebih kreatif dari sekadar tawarkan cerita). Kami tak pedulikan gimik, yang kami mahu cuma teater.

Dan melalui senarai ini, ia meletakkan si pemilih sebagai audien di posisi yang berkuasa. Kuasa ini sekuat kuasa seorang director. Senarai ini akan dedahkan diri penulis, dan menampakkan direction (tak sekadar memeta dan melakukan survey). Hanya di dalam posisi audien, kita boleh garap suatu naratif peribadi, dan bila naratif-naratif peribadi ini jadi banyak, ia akan membentuk suatu naratif besar yang kompleks dan meriah. Ia bukan soal satu pementasan teater kena masukkan semua benda untuk jadi inklusif, tetapi sebaliknya kita selaku audien yang saring dan pilih untuk tonton apa. Tak semua orang boleh jadi director, tetapi setiap orang boleh jadi audien—Audien sebagai kurator dalam skala kehidupan domestik seharian. 


Ilham Sani & Roy Osmera
Ilham Sani, lahir 1979, seorang pelukis abstrak kelahiran Pulau Pinang. Karyanya Depth of the Dark Red Sea telah dipamerkan di Young Malaysian Arts Award.  
Roy Osmera, lahir 1981, seorang pencinta seni dan penulis kasual yang sedang menyiapkan magnum opusnya Dewa Neon, sebuah novel setebal 1,234 muka surat. 
P/s: Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis asal. Klik link untuk ke artikel asal di instagram.

Jumaat, November 24, 2017

Apa Buat 2017?

JANUARI 2017
  1. Latihan playlet Melihat Setan Bekerja di rumah, lakonan Irfan ‘Kecik’ Zakwan dan Fahmi Harun
  2. 8 track Malam Elektrik oleh Joni Atari di Soundcloud
  3. Meeting pertama TEATER MODULAR (set 1) di Rahmath, Alam Budiman
  4. 9 track Axis Gemala Naga oleh Joni Atari di Soundcloud (diikuti kompilasi muzik lain)
  5. Cerpen Protes Alam di Cukaria
  6. Buku PENGEMBARAAN SHELL-SEARCHING SEEKOR UMANG-UMANG ROCK N’ ROLL DAN LAIN-LAIN CERITA terbit
  7. Pementasan playlet Melihat Setan Bekerja di Markas, Kota Damansara
  8. Temasya Wayang Budiman: join diskusi meja bulat Matinya Kritikan Filem di Malaysia dan tayangan filpen ROTI TISU di PKAF, Alam Budiman
  9. Meeting Kota Peta di NU Sentral
  10. Sesi praktis Joni Atari pertama (diikuti sesi praktis lain)

FEBRUARI 2017
  1. Bikin zine UnRepresented KL untuk Kota Peta
  2. Pameran Kota Peta di Ruang, ThinkCity kelolaan LiteraCity
  3. Jadi panelis diskusi City As Character bersama Adriana Manan (UnRepresented KL) dan Doris dan Huei Miin (BOOKU)
  4. Makan nasi Vanggey, Kampung Attap atas rekomendasi Elkay
  5. Shoot filpen Bual Santai Sebelum Bola lakonan Hery Harith dan Hafiz Sahhudi
  6. Joni Atari live set di Lotus Club 7 di 2, Hang Kasturi
  7. Litzin Kerja Tangan #12 menampilkan Nadia J. Mahfix sebagai kaver
  8. Piknik di Lake Garden bersama para penulis (rata-rata)
  9. 3 track Voltan Menjerit oleh Joni Atari di Soundcloud

MAC 2017
  1. Tayangan filem Ma’ Rosa oleh Brillante Mendoza dengan kehadiran pengarah
  2. 1 track Invasi Berukera oleh Joni Atari di Soundcloud
  3. Slide presentation 10 Novel dan Filem Yang Mesti Anda Tonton Sebelum Invasi Berukera (DLL.) sempena Speculative Scenario: Sci-Fi Lo-KL di APW, Bangsar
  4. Bikin zine TEATER MODULAR (set 1)
  5. TEATER MODULAR (set 1) berlangsung di Revolution Stage dengan sesi bual santai, pengarah: Fahmi Harun, Sak Don, Walid Ali dan Qiu Qatina
  6. Tayangan filpen Retrospektif Binfilem di Pudgi, Sepang (dengan sesi praktis Joni Atari petangnya)
  7. Litzin Kerja Tangan #13 (terakhir) menampilkan Ezzmer Daruh sebagai kaver

APRIL 2017
  1. Joni Atari live set di Kota Kata, Maju Junction
  2. Joni Atari live set di If Walls Could Talk, Gaslight Cafe, Bukit Damansara
  3. Membaca buku The Empty Space oleh Peter Brook
  4. Tayangan filpen Retrospektif Binfilem di Pitching Centre, Platinum Sentral
  5. Makan mee kicap di Kafe Kapitol, Kuala Lumpur
  6. LiteraTur versi makanan (Sogo–Chow Kit–Kampung Attap) bersama student UM bawah kelolaan Show Ying Xin
  7. Dengar ceramah Christopher Doyle di Wisma MCA

MEI 2017
  1. Joni Atari X spoken word artist live set di Urbanscapes, Art For Grabs kelolaan Melizarani T. Selva
  2. Berangkat ke Makassar International Writers Festival
  3. Jadi panelis forum Giving Voices to the Voiceless bersama Xu Xi, Lawrence Ypil dan Devi Asmarani
  4. Mendengar dan melihat Sapardi Djoko Damono dan Afrizal Malna berpuisi dan berbicara
  5. Menonton filem Another Trip To The Moon dengan sesi bual santai bersama Ismail Basbeth dan Aan Mansyur
  6. Sembahyang Jumaat bersama Shaz Johar di Masjid Cheng Ho
  7. Beli gitar letrik dengan Lokman Hakim di kawasan terpencil
  8. Sewaktu di Makassar, pameran Ilham Contemporary Forum 2009-2017 dilancarkan
  9. Pertemuan Penggiat Teater Indie di Kakiseni, TTDI

JUN 2017
  1. CD Pusara Digital oleh Joni Atari terbit
  2. Buat makan-makan di rumah, Alam Budiman
  3. Menyertai kelas The New Play Project kelolaan KLPAC selama 6 bulan bagi skrip teater MAUTOPIA
  4. Meeting pertama TEATER MODULAR (set 2) di Ras Balouch

JULAI 2017
  1. TEATER MODULAR menerima geran INXO Arts Fund
  2. Makan nasi daun pisang & utappam dengan Émilia Giudicelli di Sri Paandi
  3. Shoot filpen EMPU lakonan Mia Sabrina dan Fara Kafli
  4. Sesi Meet The Curators bagi pameran Ilham Contemporary Forum 2009-2017 di bawah kelolaan Lee Weng Choy dan Rahel Joseph
  5. Joni Atari live set di Switch On, Johor Bahru kelolaan Goh Lee Kwang
  6. Bersama para pengarah TEATER MODULAR site visit Makespace, Kuala Lumpur

OGOS 2017
  1. Mononton LANGKAU di Pentas 2, KLPAC
  2. Menonton TEATER DI SAWAH PADI, MUZIKAL UDA DAN DARA oleh Dinsman di Sungai Besar
  3. Menonton siri tivi TWIN PEAKS musim satu
  4. Sesi masterclass The New Play Project bersama Haresh Sharma di KLPAC
  5. Sesi masterclass The New Play Project bersama Nam Ron di KLPAC
  6. Buku STEREOGRAF: 33 Esei terbit

SEPTEMBER 2017
  1. Tayangan filem Ridhwan Saidi’s Collected Shorts di Ilham Gallery, berserta sesi bual santai
  2. BENGKEL MODULAR bermula disertai Hannan, Fida dan Rashid di Quill City Mall
  3. Pementasan playlet Neraka Blackout hasil BENGKEL MODULAR selama dua hari
  4. Sesi reading showcase dan bengkel playwriting di Teater Ekamatra, Aliwal Arts Centre, Singapura atas jemputan Alfian Sa’at
  5. Menonton Duality di Bangunan PAM, Bangsar

OKTOBER 2017
  1. Bikin zine TEATER MODULAR (set 2)
  2. TEATER MODULAR berlangsung di Makespace, KL (dengan sari kata bahasa Inggeris oleh Alfian Sa’at) diikuti sesi bual santai, pengarah: Mia Sabrina, Qiu Qatina, Nana dan Walid Ali
  3. 4 track Memecut Ke Dalam Terowong oleh Joni Atari di Soundcloud
  4. Menjadi panel (tentang crowdfunding) rancangan tivi PM Live, secara langsung di Astro

NOVEMBER 2017
  1. Sesi bacaan skrip playlet TEATER MODULAR (set 3) oleh Amirul dan Adenna di rumah
  2. TEATER MODULAR menerima geran Krishen Jit ASTRO Fund
  3. Membaca Bunga di Atas Batu oleh Sitor Situmorang
  4. Menjadi juri Slamokrasi, pertandingan slam poetry
  5. Slide presentation TEATER MODULAR sempena Pecha Kucha di GDP, Bukit Damansara
  6. Sesi reading showcase MAUTOPIA rahsia di KLPAC, dengan sesi bual santai

DISEMBER 2017
  1. Akan datang!
  2. Slide presentation TEATER MODULAR di Universiti Malaya
  3. Sesi masterclass The New Play Project bersama Jo Kukathas di KLPAC
  4. Menonton ANGKAT di Auditorium Malay Heritage Centre, Singapura
  5. Meeting pertama TEATER MODULAR (set 3) di...

Ridhwan Saidi

Isnin, November 13, 2017

Set Rekaan Teater Yang Sustainable, Mengelak Pembaziran dan Sampah

Cara paling mudah untuk elak pembaziran dan penghasilan sampah dalam rekaan set teater adalah dengan menggunakan sampah itu sendiri. Sampah ini tak secara literal barang yang terbuang, tetapi boleh jadi barang yang kurang digunapakai, barang-barang yang terkunci di dalam stor.

Sewaktu pementasan Teater Modular bulan Mac lalu di Revolution Stage, kita rata-rata guna tiga kiub putih. Lucunya kita ada dua set kiub-kiub putih ini. Mulanya kita mahu pakai kiub yang dibawa dari rumah Sak Don, tapi kemudian mendapati di RS sendiri sudah ada kiub. Kami berkeputusan pilih kiub RS sebab permukaannya lebih kukuh untuk Amirul Syakir pijak dan lompat. Bagi pementasan Malam Pertama pula, meja dan cawan yang dimasukkan memang sudah ada di lokasi. Pokoknya dalam Teater Modular kita menggunakan apa yang sudah ada di lokasi, dan ini berulang sewaktu di Makespace.

Makespace lebih mengujakan sebab ia sudah ada ruang stor, jadi ada banyak barang yang boleh kita pilih dan pakai untuk buat set. Pendek kata set rekaan bagi Teater Modular tak pernah jadi isu untuk saya fikirkan sangat. Tapi oleh kerana pementasan ketiga nanti di black box, DPAC, ia buat saya kembali gusar. Saya perlu fikirkan bagaimana untuk gunakan ruang di dalam itu.

Mulanya saya cadang untuk jadikan struktur kerusi audien yang bertingkat itu sebagai set, lalu audien sebenarnya hanya berdiri atau duduk di tempat lain, tetapi ia tidak masuk dengan skrip yang telah saya tulis, dan kalau saya paksa idea ini ia akan jadi gimik semata. Maka dengan itu saya fikir, Teater Modular perlu kembali percaya kepada cerita, dan posisi audien di dalam keadaan yang paling konvensional. Untuk menyeimbangkan konvesi ini, apa yang boleh kita buat dengan hamparan lantai dan dinding black box ini nanti?

Tidak seperti Makespace dan RS yang sudah ada barang-barang di dalamnya untuk kita guna, dengan ruang DPAC yang lebih formal, kita kena masukkan barang-barang dari luar. Approach ini saya perlu berhati-hati, sebab potensi untuk hasilkan sampah pasca pementasan itu tinggi. Malah ketika di Makespace, saya ada beli karpet berwarna cokelat, dan karpet itu sekarang sedang terbentang di ruang tamu saya. Jika ia tidak dibentang, saya tidak tahu mahu bubuh karpet ini di mana. Ia sudah tentu ada elemen nostalgik sikit, sebab di atas karpet ini sudah ramai orang pijak dan duduk. Apabila melihat kucing-kucing peliharaan saya mencakar dan berguling di atas karpet cokelat ini, ia mengingatkan saya pada pementasan Teater Modular di Makespace.


Ridhwan Saidi

Menjadi Didaktik

Didaktik bawa konotasi tak baik, literal dan terlalu permukaan bagi kebanyakan penggiat seni Malaysia tapi bukan untuk saya. Saya juga pernah rasa untuk jadi didaktik itu tidak kool, tapi bila difikirkan, semasa berusia 20an sudah pasti kita semua tak mahu jadi didaktik sangat. 

Saya pertama kali menerima idea untuk menjadi didaktik ini ketika di awal 30an sewaktu bertemu dengan Mohsen Makhmalbaf di Singapura. Kami ditayangkan sebuah dokumentari mengenai bagaimana dia membangunkan sekolah filem bermula dengan keluarga, kawan-kawan dan para jirannya di rumah, diikuti sesi bual bicara.

Menjadi didaktik adalah dengan mengajar, dan pelajaran terbaik adalah dengan menjadi cikgu. Sebab bila kita nak mengajar kita kena tahu, dan sebenarnya kadang-kadang pengetahuan baru yang kita dapat, bila kita beritahu orang lain, bukan orang lain itu yang ingat atau belajar, tapi diri kita yang paling ingat dan belajar.

Mohsen Makhmalbaf seorang pembikin filem Iran. Sewaktu berusia 17 tahun dia tikam seorang anggota polis dan lalu dipenjarakan (untuk dihukum mati) hingga usianya 22 tahun. Dia dibebaskan sewaktu revolusi Iran. Selama ini dia buta huruf dan antara benda terawal dia lakukan selepas keluar penjara adalah menonton wayang gambar. Lepas itu dia buat keputusan untuk menjadi pembikin filem. Dia mula belajar membaca. 

Filem A Moment of Innocence (1996) merupakan lakonan semula babaknya ketika remaja sewaktu menikam anggota polis yang lalu menyebabkan dirinya terpenjara. Dalam hal ini, dia telah mendapatkan kembali anggota polis yang ditikamnya sebagai pelakon. Mereka berdua telah melakukan sesi casting bagi watak mereka sewaktu mereka muda. Ia berakhir dengan imej roti dan bunga.

Suatu hari anak perempuannya Samira Makhmalbaf tak mahu pergi sekolah dan ingin bikin filem seperti bapanya. Mohsen menyuruh Samira pergi sekolah, atau paling kurang habiskan sekolah dulu, dan sebaiknya mengelak dari jadi pembikin filem kerana hidupnya akan merana dengan menjadi pembikin filem, tetapi Samira berdegil. Samira suatu ketika ambil keputusan untuk bunuh diri, jika dia tidak dibenarkan untuk bikin filem. Di dalam situasi ini, Mohsen membenarkan Samira untuk bikin filem, tetapi perlu melalui siri pelajaran di rumahnya. Kerana bagi Mohsen, sentiasa berbaloi untuk hidup dan lakukan sesuatu seperti bikin filem, daripada membazirkan nyawa yang telah diberi. 

Samira waktu itu sekolah menengah ada adik perempuan bernama Hana Makhmalbaf (masih bersekolah rendah), yang juga kadang-kadang terlewat pergi sekolah sebab mengikuti kelas filem di rumah.

Kelas filem yang diajar Mohsen ini bukan pelajaran formal, jadi mereka belajar tentang seni, tentang lukisan, tentang puisi dan secara fizikal mereka berenang, kayuh basikal dan seumpamanya. Dalam sesi kayuh basikal ini, isteri Mohsen, Marzieh Meshkini yang turut mengikuti kelas ini, tak reti kayuh basikal. Pengalaman ini, untuk kayuh basikal sejauh beberapa kilometer, telah meninggalkan kesan buat dirinya, lalu terhasil filem The Day I Became a Woman (2000). 

Mohsen ada menyimpulkan bahawa karyanya ada tiga elemen iaitu poetic, didactic dan satu lagi saya kurang ingat. Mulanya saya terkejut kerana dia mahu karyanya didaktik, tetapi saya boleh faham sebab dia mahu ramai orang-orang yang buta huruf seperti dirinya dulu, boleh nikmati filem. Untuk menjadi didaktik adalah untuk merapatkan jurang antara karya/pengkarya dengan orang ramai. Walaupun kadar buta huruf di Malaysia rendah tapi itu tak bermakna dengan kebolehan untuk baca huruf, membolehkan seseorang itu boleh baca karya yang melibatkan pelbagai deria.

Kerana itu dengan Teater Modular saya jelas mahu ia didaktik, paling ketara dengan kewujudan Bengkel Modular (yang wujud secara impromptu setelah diberi ruang oleh Kakiseni) dan dalam siri pementasan sendiri, setiap kali habis, sesi bual santai ibarat playlet kelima di mana kegusaran atau salah faham sekurang-kurangnya boleh dilontarkan ke tengah. Saya tidak mahu ada audien yang pulang dalam keadaan sesat dan tidak faham. Dan kefahaman ini datang via empati, di mana audien dapat memahami apa niat dan proses di sebalik apa yang sudah dipentaskan. Pementasan itu sendiri boleh bercakap dengan sendiri, tetapi kadang-kala ada berlaku salah terjemahan, kerana teater melibatkan penulis, pengarah, pelakon, jadi tentu ada arah berbeza yang ditawarkan setiap orang yang terlibat.

Beberapa kali sewaktu sesi bual santai, ada audien yang mengatakan bahawa pada mulanya dia tidak faham dan sedikit lost, tetapi setelah mendengar perbualan dan keterangan, dia mula dapat sesuatu… dapat konteks, dapat perasaan, dapat rasionaliti di sebalik setiap perlaksanaan. Sudah tentu ini menggembirakan saya, dan poin kenapa sesi ini fundamental.

Ada yang merasakan sesi bual santai ini add on kepada pementasan, tetapi itu tanggapan yang salah. Telah banyak kali saya nyatakan bahawa sesi bual santai ini playlet kelima persembahan (dengan saya sebagai director.) Ideanya adalah bagaimana kita boleh improve silence dengan kata-kata. Kadang-kala kita cemarkan kekosongan dengan bunyi-bunyian, maka dalam sesi bual santai ini saya akan cuba regulate pertanyaan dan pandangan, agar ia bermanfaat bagi keseluruhan program Teater Modular.

Sewaktu pementasan Mac saya tak tahu apa-apa fasal teater, tetapi saya cepat belajar, dan kini meski sudah tahu serba sedikit, saya masih ada banyak benda untuk teroka. Hampir setahun (ya, ketika esei ini ditulis ia baru 8 bulan) bersama Teater Modular, ia semacam kelas-kilat-pantas mempelajari teater, dan saya rasa proses ini juga boleh dialami oleh orang ramai dengan semudah menjadi audien dan menyertai sesi bual santai.

Ada yang merasakan saya bertanggungjawab penuh terhadap pementasan Teater Modular, dan memang benar saya bertanggungjawab (selaku produser) terhadap keseluruhan kesan pementasan, tetapi dari segi teks, perlu kita ingat bahawa apabila melibatkan ciptaan teater, suara penulis, pengarah dan pelakon akan beramalgamasi. Jadi untuk kunci pendapat anda terhadap teks tulisan saya selepas menonton teater, bukan tindakan terbaik kerana ia bukan pengalaman penuh teks tersebut. Anda kena baca skrip yang sudah kami cetak dalam zine, ini langkah pertama dalam usaha untuk mengelakkan anda melakukan generalisasi yang terpesong.

Kedua, dalam teater, masih (dan sentiasa!) ada ruang bagi para pengarah dan pelakon subvert, enhance, revert dan macam-macam efek tindakan lain yang boleh diterap. Jadi anda perlu ada kefahaman proses ini. Ini persis apabila ada wartawan atau media menemubual anda, dan anda cakap sesuatu, tetapi apabila ia keluar ke media cetak, apa yang anda cakap tak begitu sama dengan apa yang tercetak. Ini semestinya tergantung kepada kepekaan dan kebijakan wartawan tersebut.

Ketiga, untuk kritikal terhadap tulisan saya dan diri saya secara menyeluruh, cara paling baik adalah dengan terus membaca novel-novel saya. Syukur saya juga seorang novelis, jadi saya sudah mendedahkan diri saya di kala saya belum mahu jadi didaktik dan di usia hujung 20an. Ia satu period dan barangkali di usia 30an ini saya cuma mahu bikin teater, dan siapa tahu di usia 40an nanti, saya cuba bikin filem pula, dan kemudian di usia 50an, saya akan kembali menulis dan sudah tentu, saya sebagai novelis di usia 20an tak akan sama dengan saya sebagai novelis di usia 50an. Ideanya adalah untuk mendapatkan kejernihan dan clarity kata-kata. Ia buat kita kembali kepada cahaya puisi. 


Ridhwan Saidi

Selasa, Oktober 24, 2017

Buka Ruang

Teater Modular buka ruang untuk saya kenal orang yang boleh mengarah teater. Idea besarnya supaya bila saya tulis play penuh, saya ada beberapa pengarah yang boleh dipilih. Misal kata kalau saya nak buat play penuh yang ganas-ganas, mungkin saya ambil Qiu Qatina untuk direct. Atau barangkali kalau saya nak buat play yang ada nuansa melodrama, mungkin saya ambil Walid Ali pula. Jadi ideanya sebagai playwright, saya tak terhad untuk berkolaborasi dengan seorang pengarah saja. Hubungan saya dengan pengarah lebih berpoligami? Lebih konsensual? Polyamory? Saya sendiri tak tahu perkataan yang betul.

Selain itu hubungan saya dengan para pelakon juga perlu dibina. Saya perlu pelan-pelan kenal ramai pelakon sebab ia akan efek balik penulisan play tu. Lebih mudah untuk saya sudah fikirkan paling kurang dua pelakon utama yang akan bawa teks tersebut. Sebagai contoh dalam Bangsawan ada konsep Seri Panggung dan Orang Muda. Andai saya mahu dekonstruk Bangsawan, yang akan saya kekalkan tentu watak Seri Panggung dan Orang Muda yang di-subvert (jadi Pelacur atau Imigran misalnya), selain elemen extra-turn. Extra turn ini sudah tentu hanya diaksikan oleh kedua watak tadi sahaja. Untuk mudah, saya patut dah tahu terus siapa yang akan memainkan watak ini. Atau sekurang-kurangnya saya sudah boleh bayangkan siapa yang akan membawa watak ini ketika menulis.

Tapi buat masa sekarang saya boleh ambil nafas rilex-rilex. Saya sudah siap tulis playlet #9, #10 dan #11 Teater Modular. Kini hanya tinggal satu playlet terakhir untuk ditulis, dan saya perlu pastikan ia dekat.

Ridhwan Saidi