Jumaat, September 12, 2014

The Discreet Charm of a Coffee Table Book

Semasa di Obscura, Penang, terdapat himpunan buku-buku foto oleh kurator-kurator dari negara-negara berbeza. Antaranya dari Filipina yang bawa hawa zine dan estetik punk, dari Jepun yang eksperimental dan mencabar naratif sebuah buku, dari Thailand dengan humor mereka dan dari Malaysia di satu sudut, hampir semua (kecuali satu? iaitu paperback tapi saya percaya dengan wawasan...) coffee table book, penuh senyuman dan unsur sentimental.

Senyuman di dalam foto adalah propaganda potret keluarga. Seseorang kata ni, tak ingat siapa. Martin Parr?

Dan sentimental pula terutama sentimental stail Malaysia cenderung tak best. Saya tak pasti mengapa. Ia seakan terlalu memaksa. Macam dakwah. Tidak kira foto atau tulisan. Tiap kali saya tekan punat kamera, dalam hati saya sentiasa zikir sebuah rendisi unsentimental.

Coffee table book adalah sebuah konvensi borjuis. Ia seperti buku A Doctor in the House yang diletak di atas meja telefon di sebelah telefon. Ada wajah Tun Dr. Mahathir sedang senyum. Suatu prestij dalam skala marhaen. Ibarat potret keluarga dengan bingkai, Dr. M adalah sebahagian daripada keluarga kita.

Dari meja telefon, kita beralih ke meja kopi. Untuk rumah-rumah orang kebanyakan, ia boleh jadi terletak di hadapan tivi atau di laman luar. Biasanya kita bubuh majalah atau surat khabar hari itu. Alami coffee table book untuk dibelek tetamu, dan beri idea citarasa si tuan rumah. Meski bila Hari Raya kita simpan majalah dan buku di bahagian bawah meja atau rak, dan balang-balang kuih ambil posisi utama di atas meja. Makan dulu, coffee table book kemudian.

Tetapi masih, jurufoto-jurufoto kita gemarkan coffee table book. Saya tak menolak konsep coffee table book. Malah suatu masa kelak saya berniat bikin coffee table book sebesar saiz meja kopi IKEA. Dengan kaki yang boleh dipasang, agar coffee table book itu boleh berfungsi sebagai coffee table.

Selain itu saya minat dengan rekaan photobook kerana saya dapat meneroka naratif-naratif baru yang tidak boleh saya dapat dari filpen atau novel. Dengan photobook saya dapat bermain dengan arsitektur dan literatur. Arsitektur dari segi struktur dan rekaan, literatur dari segi susunan dan bahasa. Bila sebut bahasa tentu anda fikir puisi atau prosa. Jika ambil filem sebagai contoh mungkin ramai tak dapat tangkap bagaimana filem berfungsi sebagai bahasa. Barangkali contoh purba ini boleh membantu: hieroglyph aka tulisan/lukisan zaman Firaun (not to be confused with Mahafiraun!) Sistem ejaan berasaskan gambar sepertimana foto-foto disusun di dalam photobook untuk menyampaikan sesuatu via bahasa.

Ridhwan Saidi

Sabtu, September 06, 2014

Call for entry NOORZINE 002

Budak, Petaling Street dari siri Ranggi Metropolis

NOORZINE adalah sebuah siri buku yang menyamar sebagai majalah. Di dalamnya terdapat himpunan foto-foto hitam dan putih oleh sepuluh orang kontributor/jurufoto amatur berserta sesi Q&A. Amatur di sini dalam erti makna sebenarnya iaitu ‘lover of’. Salah seorang yang akan ada di dalam NOORZINE 002 ialah saya, maka tinggal lagi 9 ruang bagi anda atau sesiapa sahaja yang mencintai imej, bahasa dan seni cetak.

Saya dan Nurul Aizam akan bertindak sebagai editor. Jangan tanya gambar apa yang kami mahu. Soalan itu wajar ditanya kepada diri anda sendiri.

Jika NOORZINE 001 kami cetak offset, bagi NOORZINE 002 kami akan guna digital print, 100 cetakan pertama. Akan ditambahcetak bila ada permintaan. Setiap kontributor/jurufoto akan menerima 2 naskhah gratis.

Setiap jurufoto dapat lebih kurang 10 foto untuk dipamerkan, maka himpunan ini boleh jadi teaser kepada satu projek, atau suatu retrospektif yang secara tematik berkait. Kami terbuka dengan semua naratif yang ada di atas muka bumi.

Cara terbaik untuk masuk NOORZINE 002 adalah dengan berkawan dengan saya dan tunjukkan cetakan Harvey Norman 4R atau polaroid/instax anda, dan kami akan pilih dan susun bagi himpunan imej-imej itu mencapai potensi terbaik. Selain itu boleh hantar sampel atau contoh foto-foto anda ke mokamochaink at gmail dot com. Sebarang sangsi dan ragu boleh diajukan ke emel yang sama. Terima kasih!

Ridhwan Saidi

Isnin, September 01, 2014

Rorschach Ink dan Fotografi Jepun

Jika Moka Mocha Ink hantar kilang buat offset, Rorschach Ink ialah diy bedroom publishing saya. Sebelum ini saya ada terbitkan Kitab Binfilem etc, maka ia dari tradisi itu. Cetak dan jahit sendiri. Terhad.

Saya sedang mengusahakan ODISI ROMANSA, iaitu kompilasi foto-foto saya dari 2011-2014 yang digarap untuk bawa hawa romantik. Biasanya di Malaysia fotografi cenderung ke arah street, jurnalisme atau wedding (ada macam-macam tapi tiga ni macam oh, kita terus tahu). Untuk photobook ini saya mahu ia mendekati novel jiwang. Tapi jiwang stail saya. Ia kombinasi imej-imej filem pendek dan street.

Saya tersentuh untuk bikin photobook sedemikan pasca presentation RANGGI METROPOLIS dan CAIPIRINHA BLUES di Publika (sesi Photobook Club KL). Seorang gadis bernama Jenna yang belajar fotografi di UK tegur saya dan cerita bahawa pameran yang sedang berlangsung bersifat formalis, sama macam apa yang dia biasa lihat di UK. Dia pulang ke Malaysia untuk lihat sesuatu yang lain, punya rendisi Asiana etc. Dia kata foto-foto berwarna saya mengingatkan dia pada filem-filem Wong Kar-wai. Ia tiba pada saya apa yang dikatakannya masuk akal. Kebanyakan seni di Malaysia formal. Saya rasa grafiti jalanan di Kuala Lumpur pun formal. Tentang Wong Kar-wai saya tak ambil Wong Kar-wai per se, tapi kita faham apa yang dia sedang cari. Ibarat My Blueberry Nights yang tak werk dengan pelakon dan tenaga kerja mat saleh.

Selepas ke KLPA di Publika saya ke Penang pula bagi Obscura. Saya tunjuk zine RANGGI kepada jurufoto-jurufoto Jepun. Masako Tomiya kata gambar saya macam Daido Moriyama, high contrast gitu, dan dia tanya jurufoto Jepun lain yang saya suka dan saya kata Issei Suda. Dia terkejut dan kata, “Dia cikgu saya!”

Nozomi Iijima pula yang tidak fasih berbahasa Inggeris kata, “foto-foto kamu amat sepi.” Saya tak pernah terfikir untuk lihat foto-foto sebagai sepi. Ia mengagumkan. Biasanya di Malaysia, meski tak semua, tapi rata-rata bila saya tunjuk foto mereka akan tanya saya pakai kamera apa, atau lensa apa, hal-hal teknikal yang tak penting. Kadang-kala persis moralis mereka ajar saya yang focal length 35mm untuk jurnalisme manakala 28mm untuk street. Saya hanya mampu, WTF?!

Hajime Kimura pula, mengatakan bahawa ia tentu lebih baik kalau ada blank page agar flow lebih lancar. Saya sedar ini tapi semacam baru dapat keyakinan. Sebab tak mudah untuk saya guna kertas kosong. Semacam saya membazir unsur alam, pokok ditebang tapi tak cetak etc. Ini tentu ada kena mengena dengan falsafah/estetika orang Jepun. Kertas kosong berfungsi sebagai kertas kosong.

Pameran Nozomi antara yang beri efek betapa kerasnya intensiti yang boleh diberikan oleh pameran berbanding photobook. Kegemaran saya. Selain itu via Hajime, saya dapat lihat progress-nya sebagai jurufoto. Di Publika ada pameran Two Mountains, miliknya antara yang terbaik. Kemudian di Penang ada dua pameran, satu mengenai bapanya dan satu lagi imej-imej half frame. Di samping tu ada dua photobook, satu scrapbook dan satu dalam kotak, Tokyo Etude. Imej-imejnya profound, jika dibandingkan dengan foto-foto orang Malaysia. Sedih bukan?

ODISI ROMANSA ibarat surat cinta saya kepada fotografi Jepun. Saya akan spray paint kanji Odessei Romansu pada kulitnya. Persis Edogawa Rampo yang minat gila Edgar Allan Poe, saya minat gila fotografi Jepun (selain Amerika!)

Ridhwan Saidi 
P/S: Semasa presentation, saya beritahu inspirasi saya dalam fotografi ada empat orang: William Eggleston, David Lynch, Daido Moriyama dan Chris Marker. Mereka perakam mimpi.